Setiap kali melihat cermin, mata akan terfokus kepada rambut di kepala yang kian memutih. Lantas aku terus terbayang wajah emak yang telah lama menghuni di alam barzakh. Tahun 2003, emak meninggalkan kami lapan orang anak-anaknya yang sentiasa memerlukan kasih sayangnya. Apa khabar agaknya emak di sana. Aku sentiasa mendoakan agar emak berada dalam golongan orang-orang yang beruntung. Insya Allah.
Wajah aku memang hampir dengan rupa emak. Ditambah dengan uban yang kian memutih. Irasnya semakin hampir sama. Saat itu, aku semakin merasai kematian makin mendekat. Takutnya tersayat jauh ke dalam ulu hati. Emak, mahu tak mahu kita akan berjumpa juga di alam sana. Tak tahu macam mana nasib aku, emak. Ya Allah takutnya. Namun uban kian memutih dan akan terus memutih setiap saat. Aku dah jadi macam emak.
Setiap kali membaca, aku memerlukan kaca mata dwi fokal. Bermakna mata aku pun kian menyerupai mata emak. Lima tahun sebelum emak meninggal, emak memakai kaca mata untuk belajar mengaji Al-Quran dengan Mak Ngah Minah, jiran dan kawan baik emak. Juga kawan baik kami sekeluarga. Dulu, waktu emak nak menjahit baju yang koyak, akulah yang memasukkan benang ke dalam lubang jarum. Emak kata emak tak nampak pun lubang pada jarum itu. Aku selalu berkata pada emak, alah emak ni lubang jarum pun tak nampak.
Sekarang ini, segalanya telah berlaku pada aku. Sudah banyak tahun aku tidak menjahit baju sebab tak nampak lubang jarum. Kalau nak menjahit butang baju, anak aku yang berusia lapan tahun, Nurul najjahlah yang akan memasukkan benang pada lubang jarum. Najjah selalu berkata, alah umi ni, lubang jarum pun tak nampak. Aku dah jadi macam emak.
Oleh sebab, rumah dua tingkat, aku selalu turun naik tangga. Kadang-kadang rasa malas nak naik tangga sebab terasa sengal dan sakit pada lutut. Aku terus teringat pada emak. Dua tiga tahun sebelum emak meninggal, emak selalu mengadu sakit lutut apabila selalu berulang alik ke surau Chendering. Emak selalu berehat di rumah kalau sakit lutut. Emak baring di serambi rumah yang baru emak ubah suai. Aku selalu bertanya, emak kenapa emak? Emak kata sakit lutut. Ala, emak ni asyik sakit lutut aja. Makanlah ubat emak. Emak kata dah makan tapi sakit juga. Sekarang ini semua telah berlaku pada aku. Najjah selalu berkata, umi ni asyik sakit lutut je. Umi makan lah ubat. Umi dah makan Mona-V tapi sakit juga. Aku dah jadi macam emak.
Emak dah lama meninggal, tapi rasa macam baru saja emak pergi. Wajah emak, rambut emak, mata emak dan lutut emak sentiasa dalam ingatanku. Kata-kata emak masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Susah payah emak masih tersimpan. Keluh kesah emak masih terkenang. Emak, sebenarnya aku sangat rindu pada emak..AlFatihah buat emak yang jauh....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan