Ahad, Julai 31, 2011

Gerhana Matahari

Pada 16 JUN 2011, kita telah diperlihatkan oleh ALlah satu kejadian gerhana bulan penuh antara dinihari pukul 1.00 hingga dan 6.00 pagi. Saya sempat melihat gerhana itu pada pukul 3,30 pagi. Solat gerhana bulan dilaksanakan di beberapa buah masjid di Putrajaya. Pada mulanya ada juga berniat hendak turut serta pada pukul 1.00 pagi di sana. Tetapi ada banyak perkara pula yang menghalang, langsung tak pergi.
Sungguh menakjubkan apabila melihat kejadian gerhana ini Sebenarnya, kejadian gerhana bulan ataupun gerhana matahari merupakan satu kejadian yang telah berlaku sekian lama. Sejak zaman Jahilliyah, orang Arab Quraisy dikatakan sering mengaitkan fenomena gerhana bulan dengan kejadian-kejadian tertentu, seperti adanya kematian atau kelahiran, dan kepercayaan ini dipercayai secara turun temurun sehingga menjadi keyakinan umum masyarakat pada zaman itu.
Pada zaman Rasulullah, misalnya, pernah terjadi gerhana matahari yang bersamaan dengan kematian putera Rasul SAW yang bernama Ibrahim. Orang-orang pada saat itu menganggap terjadinya gerhana tersebut kerana matahari bersedih atas kematian Ibrahim.
Pemahaman yang salah ini diluruskan oleh Rasulullah.SAW dengan mengatakan bahawa gejala gerhana itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kematian atau kelahiran seseorang manusia. Sebaliknya ia adalah tanda kebesaran Allah sebagai Pencipta Alam Semesta. Sebagaimana sabda Rasullah SAW dalam Hadits Riwayat Bukhari “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda di antara tanda-tanda kekuasaan Allah. Gerhana ini tidak terjadi karena kematian seseorang atau lahirnya seseorang. Jika melihat gerhana tersebut, maka berdo’alah kepada Allah, bertakbirlah, kerjakanlah solat dan bersedekahlah.”
Kita teliti kejadian gerhana bulan dalam masyarakat lain di dunia yang mengaitkannya dengan mitos dan tahyul.
Di negeri China, rakyatnya percaya bahawa seekor naga langit membanjiri sungai dengan darah lalu menelannya. Hal ini menyebabkan orang Cina menyebut gerhana sebagai “chih” yang bermaksud memakan. Oleh itu mereka membuat bising dan membunyikan macam-macam bunyi untuk menakut-nakutkan naga.
Orang India pula percaya bahawa seekor naga penyebab kepada gerhana bulan. Mereka lalu menyembah sang naga dengan berendam ke dalam air sampai aras leher. Di Jepun, mereka percaya bahawa pada waktu gerhana ada racun yang disebarkan ke bumi. Dan untuk menghindari air di bumi daripada terkena semburan racun tersebut mereka telah menutup telaga-telaga atau sumber air mereka.
Sementara itu, Raja Louis dari Perancis dikatakan meninggal dunia sewaktu mengamati gerhana bulan pada tahun 840. Kononnya, raja itu sangat bingung dalam kegelapan selama 5 minit dan meninggal dunia karena begitu takut.
Di Indonesia, khususnya Jawa menganggap bahawa Batara Kala atau raksasa jahat telah memakan bulan. Maka masyarakat Jawa khususnya anak-anak ramai yang memukul kentong pada saat gerhana untuk menakut-nakutkan dan mengusir Batara Kala.
Begitulah cerita karut-marut tentang gerhana bulan. Walau bagaimanapun, jika berminat untuk mengetahui tentang gerhana daripada pandangan Islam, banyak ilmu dapat dikongsikan dalam Ensiklopedia Solat di halaman 67-82.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan