Selasa, Mei 25, 2010

Jauh Perjalanan Luas Pemandangan

Jauh Perjalanan Luas Pemandangan :

Catatan Peribadi Lawatan Penanda Aras Ke Kota Singa

Perancangan pihak pengurusan Pusat Sumber IPG Kampus Pendidikan Teknik untuk mengadakan satu lawatan ke luar negara akhirnya menjadi kenyataan apabila pada pagi 5 Mei 2010, satu rombongan pensyarah dan staf sokongan IPG Kampus Pendidikan Teknik telah bertolak ke Singapura untuk mengadakan satu lawatan penanda aras di sana. Rombongan ini turut disertai oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Cik Hajah Rosenah Mohamed Noor. Manakala penulis, Puan Sharizan, Encik, Mohd Rosle dan Encik Mohd Radzi begitu gembira kerana dapat mewakili Jabatan Pengajian Melayu dalam lawatan ini.

5 Mei 2010

9.15 pagi, diiringi lafaz doa perjalanan yang dibacakan oleh Ustaz Azani, kami bertolak ke Singapura dari perkarangan Pusat Sumber dengan bas persiaran - BYG 2020. Setiap ahli rombongan mempamerkan senyuman kegembiraan, maklumlah hendak keluar negara. Dua tahun lepas aku pernah singgah di Singapura kerana menghadiri majlis perkahwinan adikku di sana.. Oleh sebab lawatan ini disertai rakan-rakan sejawat maka tentulah rasa seronoknya menjadi agak berlebih-lebihan. Dalam bas, kami diberikan penerangan tentang perjalanan oleh ketua agensi pelancongan, Encik Isma. Aku dukacita apabila dimaklumkan, agenda lawatan ke Sekolah Rendah Kerajaan di Jurong tidak dapat dipenuhi kerana sekolah berkenaan sedang menghadapi musim peperiksaan.

9.45 pagi, bas berhenti di R&R Seremban dan kami membasahkan tekak dengan sarapan pagi. Aku meneguk teh tarik yang tidak begitu manis, Ijan membeli sebotol kecil air ECPI yang didakwanya agak mahal manakala Rashidah membeli dua biji pau, besar punya. 15 minit kemudian, bas meneruskan perjalanan. Encik Isma memaklumkan bahawa bas akan singgah di Air Itam untuk memberikan peluang kepada ahli rombongan yang berduit membeli-belah.

11.30 pagi, bas melalui pekan koboi Air Itam dan berhenti sebentar. Semua peserta rombongan turun dan terus meluru ke kedai-kedai yang berhampiran. Aku mendapati banyak kedai menjual barangan yang sama seperti bantal, permainan kanak-kanak, pasu, barangan kraf, bunga plastik, makanan ringan, keledek, keladi dan sebagainya. Aku teruja apabila melihat keledek manis yang dijual di sini lalu membelinya tiga kilogram. Ijan tidak sabar-sabar membelikan bantal ulat bulu untuk anaknya sehingga Rosle terpengaruh dan turut membelinya. Ramai juga ahli rombongan yang keluar masuk semua kedai tetapi tidak membeli satu apa pun. Alasannya sukar untuk membawa barangan kerana perjalanan masih terlalu jauh.

4.10 petang, kami sampai ke tempat penginapan di Scholar’s Inn UTM Skudai. Peserta rombongan bergegas dengan beg masing-masing ke apartment lima tingkat yang boleh dihuni 3 orang sebuah. Apartment yang selesa ini mengandungi 2 bilik tidur 1 bilik air. Aku dan Ijan berkongsi bilik. Bilik satu lagi dihuni oleh Cik Rosenah. Kami sempat membersihkan badan, solat jamak dan berehat seketika sementara menunggu masa untuk memasuki sempadan Singapura.

6.30 petang, kami ke Plaza Angsana, makan mi rebus Pak Wahid. Sedapnya! Ijan, Dr Sharifah dan Azmin makan nasi ayam. Ijan memuji-muji kesedapan otak-otak Johor. Aku kesian dekat Ijan yang tidak sempat nak tapau burger.

7.15 malam, bas menuju ke Singapura melalui Woodlands. Kami melepasi pemeriksaan kastam di Tambak Johor dan Woodlands. Sampai di Woodlands, pemandu pelancong yang ceria, bernama Agna memandu kami ke Night Safari.

9.45 malam, kami tiba di Night Safari yang terletak di Mandai Lake Road. Tiket masuk ke Night Safari, 22 Sing Dollar untuk dewasa. Darab 2.3 RM? Mahal tuu!. Dikatakan terdapat 120 jenis binatang liar terdapat di sini. Mula-mula masuk ke Night Safari, para pelancong, (ewah jadi pelancong konon), dipersembahkan dengan Borneon Tribal Show. Aku nampak semua lelaki menari gaya zaman batu menutup aurat ala kadar saja. Ada sesetengahnya yang makan api! Fire eaters!. Atas dunia ni bolehlah tunjuk lagak makan api, esok di akhirat di makan api neraka. Nauzubillah!

Agna memberikan kami tiket kemudian memandu kami masuk ke dalam kawasan Night Safari. Aku kagum, walaupun banyak hutan batu di Singapura, tetapi banyak juga hutan rimbanya yang terpelihara sehingga dapat menempatkan habitat fauna di tengah kota. Pada aku, persembahan binatang tidaklah begitu hebat tetapi pengacara pertunjukan itu yang bernama Azizah cukup mengagumkan aku kerana kefasihannya berbicara dalam banyak bahasa.

10.15 malam, trem membawa kami mengelilingi hutan rimba yang gelap untuk mengintai fauna dari jarak dekat. Bunyi unggas di sekeliling hutan mengingatkan aku dengan suasana malam di kampung. Penataran cahaya dibuat cukup menarik bagi membolehkan binatang liar dapat dilihat tanpa gangguan. Keinginan aku untuk melihat malayan tiger, leopard, singa dan beruang dari jarak dekat hampa kerana kelibat binatang itu tidak kelihatan. Aku agak mungkin mereka sudah mula tidur kerana kekenyangan. Aku dapat melihat dengan jelas sang tapir, badak sumbu, badak air, gajah, dan rusa. Selebihnya binatang yang biasa dilihat dokek kampung arwah nenek aku seperti kerbau dan exotic animals di Singapura, babi ternak dan babi hutan!.

11.30 malam, aku dan Ijan bergambar di muka pintu Night Safari untuk buat kenang-kenangan pada hari tua. Rakan-rakan yang lain pun turut bergambar, ada juga yang suka-suka bergambar dengan patung kayu hitam yang tidak berpakaian! Selepas itu, kami pun bertolak balik ke tempat penginapan di UTM Skudai selepas melalui turun naik bas melepasi pemeriksaan kastam di Woodlands dan Tambak Johor. Dalam bas ramai yang tertidur kerana keletihan.

6 Mei 2010

Seawal 7.00 pagi, peserta rombongan telah berada dalam bas menuju ke Café Mak Jah di kawasan UTM untuk sarapan pagi. Aku menghirup laksa Johor. Wah, sedapnya! Ijan berselera makan nasi awal pagi dengan lauk asam pedas. Kak Mala makan laksa Penang ditemani suaminya.

9,35 pagi, bas menuju ke Singapura melalui link kedua. Perjalanan lancar tanpa traffic jam tetapi memakan masa yang agak lama. Kami melepasi pemeriksaan kastam di Tanjung Kupang dan meneruskan perjalanan ke pemeriksaan kastam Singapura di Tuas. Sampai di Tuas, kami menunggu pemandu pelancong bernama Jason. Aku melihat Jason lelaki Cina warga Singapura yang tidak begitu fasih bahasa Inggerisnya. .

12.00 tengah hari, Jason memandu kami ke Merlion Park di Marina Bay Singapura. Merlion Park diasaskan oleh Lee Kuan Yew sebagai tanda mengucapkan selamat datang ke Singapura. Kira macam mercu tanda Singapuralah tu. Ada dua ekor merlion dekat Marina Bay tu, satu besar, satu kecil. Ramai pelancong yang datang bergambar dengan merlion tidak bernyawa tu termasuklah aku dan Ijan. Selepas posing gaya ala kadar, kami melawat di sekitar Marina Bay yang terletak berhampiran Central Area dan Downtown Core.

2.00 petang, kami menuju ke National Library Singapore yang terletak di Victoria Street. Aku, Ijan dan Zaini mengambil gambar di ruang tengah library yang kehijauan. Kami menunggu sehingga pukul 2.30 petang untuk dibenarkan masuk ke dalam bangunan perpustakaan 16 tingkat ini. Aku melihat pelbagai koleksi buku dan khazanah berharga tersimpan di sini. Suasananya sepi. Buku-bukunya rapi. Kaedah carian bukunya menggunakan OPAC, sama seperti di Perpustakaan Negara. Aku menuju ke tingkat 10 menggunakan eskalator. Di sini terdapat satu pameran bertajuk Rihlah: Arabs in Southeast Asia. Pameran ini memaparkan sejarah dan kebudayaan Arab khususnya dari Hadharamaut di Asia Tenggara.

Kemudian aku ke tingkat 11, di sini dipamerkan sejarah Singapura. Ada pameran tentang kisah hidup The Lion of Singapore, S Rajaratnam dan. William Farquhar, residen dan komandan Singapura yang pertama. Banyak juga dipamerkan manuskrip tulisan tangan tokoh-tokoh sejarah, antara yang menarik perhatianku ialah surat tulisan jawi dan rumi oleh Allahyarham Harun Aminurrasyid. Aku agak terharu apabila sedar sekian banyak surat pada zaman native sekitar tahun 1800 masih tersimpan di sini dalam bentuk mikrofilem. Aku melihat National Library Singapore sangat berupaya menjadi gedung ilmu pengetahuan, sejarah, kebudayaan dan kesenian di Singapura. Sewajarnya, kita mengambil ilmu di sini untuk diterapkan dalam pengurusan perpustakaan di negara kita.

3.45 petang, kami semua keluar dari National Library Building. Barulah aku sedar akan kelaparan. Kami menuju ke tempat makan di Arab Street. Aku, Ijan dan Wan Azmin makan di restoran berhampiran Masjid Sultan. Aku makan gado-gado dengan air sirap bandung. Ijan memesan mi goreng mamak dan Azmin makan nasi goreng. Harga makanan tidaklah mahal sangat. Selesai makan kami solat jamak di Masjid Sultan. Di sini aku terkenang kisah sejarah sekitar tahun 1950an, kisah gadis Belanda bernama Natrah. Di masjid inilah ratusan orang Melayu Islam berhimpun mengadakan bantahan terhadap Inggeris yang menuntut Natrah dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda walaupun gadis itu telah menganut agama Islam sejak kecil dan telah pun berkahwin dengan pemuda Islam, Mansur Adabi. Natrah akhirnya dimurtadkan. Kisah ini menjadi luka di hati umat Islam sehingga kini. Solat di sini, aku berasa aman dan terkesan.

Selesai solat, kami diberi masa sehingga 6.30 petang untuk membeli-belah di sekitar Arab Street. Namanya saja Arab Street, tetapi peniaga kebanyakannya dari bangsa Cina. Aku dan Ijan memilih barangan untuk souvenir. Aku membeli key-ring, payong lipat dan lima buah beg kain berlambangkan Merlion. Ijan membeli baju T, beg dan pemegang kunci. Cuaca panas menyebabkan kami tidak banyak menjelajah kedai-kedai di situ. Arab Street termasuk dalam kawasan Kampung Gelam yang merupakan kawasan penempatan kerabat Sultan Hussein.Shah. Masih ada istana lama berhampiran kawasan ini, tetapi aku tidak berminat menjenguk istana yang telah diubah suai menjadi Pusat Warisan Melayu oleh kerajaan Singapura pada tahun 2002 itu.

6.30 petang, kami berada dalam bas. Bas menuju ke tempat membeli-belah bernama Mustafa Mohamed. Aku dan Ijan bercadang membeli sandal dan jam tangan, tetapi tidak jadi membeli apa-apa pun atas nasihat Rosle. Kualiti barangan di sini sama seperti barangan di Kedai Maidin, katanya. Akhirnya kami keluar dari Kedai Mustafa dengan membeli 2 keping coklat dan sebotol air epal. Rosle mengajak Ustaz Azani, aku dan Ijan minum kopi di sebuah kedai mamak. Kami sempat berbincang tentang jati diri Melayu Singapura. Macamlah orang Melayu Malaysia banyak jati diri! Perbincangan berlanjutan sehingga menyentuh beberapa isu kebejatan sosial dalam kalangan guru pelatih kami.

Sementara menunggu rakan-rakan lain yang entah di mana, aku dan Ijan meninjau beberapa buah kedai di Serangoon Road berhampiran Masjid Angulia. Kira macam Masjid India di KL. Mula-mula kami masuk ke kedai kasut. Aku dan Ijan masuk kedai kasut. Lama juga aku membelek dan memilih kasut. Akhirnya, Ijan membeli dua pasang sandal. Keluar kedai kasut, kami ke kedai sebelahnya. Wah, kami terpegun melihat harga barang di kedai ini! Murahnya! Harga syampu jenama pentene 750 ml baru SD7.90. Darab 2.3 pun lebih murah berbanding di KL. Banyak lagilah barang lain yang murah. Ijan nak beli macam-macam tapi sebelum dia terlajak jauh aku menyedarkannya supaya jangan menjadi sahabat setan.

8.30 malam, bas mula bergerak balik ke UTM, Skudai. Sekali lagi kami turun naik bas bersama-sama barang yang telah dibeli di dua imigresen. Ramai rakan yang keletihan. Kami bercadang hendak makan malam di mana-mana kedai dalam perjalanan balik. Rosheeta mencadangkan makan malam di Danga Bay. Ramai yang bersetuju dan bas meneruskan perjalanan ke Danga Bay.

10.12 malam, kami sampai di Danga Bay yang telah lengang. Aku, Ijan, Haleza, Yoong dan Jaswir memilih untuk makan di Restoran Rumah Limas. Aku makan nasi goreng dan sup sayur. Wah, enaknya! Lepas makan, macam biasalah, jadi kenyang. Bas pun bertolak balik ke Skudai.

12.00 malam, kami sampai di bilik. Mandi, solat jamak dan tidur lena sehingga pukul 5.45 pagi.

7 Mei 2010.

7,00 pagi, kami berkumpul dan menaiki bas sekali lagi ke Café Mak Jah. Kali ini aku makan karipap dan mihun. Datin Junaida mencuba lempeng yang dibakar panas-panas. Lepas makan, Kak Mala dan Ijan sibuk mencari tandas. Sebabnya, di Singapura semua tandas tidak mempunyai paip air untuk beristinjak. Apa ke jadahnya beristinjak dengan tisu!.

8.15 pagi, bas membawa kami ke Singapura melalui Tanjung Kupang ke Tuas. Sekali lagi kami turun naik bas untuk melepasi pemeriksaan kastam antara dua negara. Kali ini pemeriksaan agak lembap kerana bas dan pemandunya turut discan di Tuas Checkpoint. Sehingga pukul 10.25 pagi barulah kami dapat bertolak ke Kota Singa itu.

11.18 pagi, bas menghampiri McGraw Hill Book Store. 15 orang ahli rombongan yang terpilih akan turun di sini untuk membeli dan memesan buku untuk Pusat Sumber. Ahli rombongan yang selebihnya akan membeli barangan lain di Orchard Road. Manakala aku, Ijan dan Rosle meminta Jason menunjuki kami jalan ke National Museum of Singapore (NMS) yang terletak di Stamford Road.

12.04 tengah hari, kami bertiga mula berjalan ke NMS dari Orchard Road. Dalam perjalanan itu, kami tak malu bertanya, sebab malu bertanya akan sesat jalan jadinya. Akhirnya, kami sampai juga ke tempat yang menjadi penyebab utama aku mengikuti rombongan ke Singapura ini, National Museum of Singapore! Sampai saja di pintu masuk muzium, aku, Ijan dan Rosle mengutip segala macam pamplet percuma yang diletakkan di rak berhampiran pintu masuk.

Untuk masuk ke NMS, kami membayar SD10 seorang. Muzium ini mempunyai lima galeri kekal iaitu Singapore History Gallery dan empat Singapore Living Galleries yang bertemakan filem & wayang, fotografi, makanan dan fesyen. Kami memulakan penjelajahan di aras 2 - Singapore History Gallery yang memaparkan kisah pembukaan Temasek pada abad ke 14 sehingga ke zaman Singapura moden. Galeri ini mempunyai keluasan 2800 meter persegi. Di pintu masuk galeri ini, setiap seorang dari kami diberikan companion iaitu sejenis multimedia handheld device yang akan membantu kami memahami semua gambar atau peristiwa yang dipaparkan. Setiap companion datang bersama-sama sepasang earphones dan keypad. Pendek kata sangat canggihlah muzium ni. Semasa kami bertiga memasuki galeri ini, tidak ada pengunjung lain yang datang. Lengang dan sepi. Cuma sepasang pengantin baru berbangsa Cina sedang bergambar di tangga galeri.

Companion yang diberi sangat-sangat membantu kami meneroka khazanah muzium ini. Kami terpegun dengan skrin besar separuh bulatan yang menceritakan sejarah perkembangan kemajuan Singapura. Kami terus melangkah setapak demi setapak menelusuri lorong kelam dalam galeri ini. Sehinggalah tiba ke satu ruang yang mengisahkan pembukaan negeri bernama Temasek,

Di mini studio separuh bulatan , kami dipaparkan audio-visual satu kisah yang dipetik daripada teks Sejarah Melayu berkenaan tiga orang putera raja dari Bukit Siguntang.Mahameru Lakonan semula ini cukup hebat, cantik dan berkesan dalam hati aku sehingga ke saat ini. Temasek bertukar nama menjadi Singapura, dan diperintah oleh Kesultanan Melayu-Riau.

Kami terus melangkah ke lorong kelam itu dengan rasa ingin tahu selanjutnya. Di ruang ini kami temui pula kisah yang meninggalkan kesayuan, rasa benci dan penuh kekesalan di hati seorang Melayu seperti aku. Audio-visual ini menceritakan bagaimana akhirnya Singapura diserahkan tanpa susah payah kepada Raffles, wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura. Sultan Hussein Shah yang memerintah Singapura pada 1819 diperbodohkan seumpama patung, tidak berkuasa ke atas apa-apa pun, dan digambarkan hobinya suka mengutip cukai. Dalam pada itu, Inggeris membawa masuk sekian banyak orang Cina dari selatan China ke Singapura. Dasar pecah perintah Inggeris akhirnya berjaya melenyapkan kesultanan Singapura.

2.15 petang, kami melangkah keluar muzium walaupun masih banyak tempat yang kami belum teroka kerana masa yang sangat suntuk.. Kami bergegas menuju ke Orchard Road, tempat bas menunggu kami. Sementara menanti rakan-rakan lain sampai, kami mengisi perut di sebuah kedai mamak. Nasi Beriani. Wah, enaknya! Kami makan macam lagak Serina dalam JJCM.

3.05 petang, bas menuju ke Pulau Sentosa. Sampai di sana kami dipandu oleh Jason menaiki LRT untuk melihat beberapa tempat menarik. Kami bergambar di sana-sini. Aku, Ijan dan Cik Rosenah memandu luge. Tiket masuk SD12 seorang. Ijan memandu luge dengan laju, Aku gagal mengejarnya. Cik Rosenah telah jauh aku tinggalkan. Lepas itu, kami bertiga bersedia pula untuk menaiki skyride. Wah, gayat!. Sebaik turun dari skyride, kami memberitahu Rosle pengalaman menaiki skyride. Tak pasal-pasal aku dan Ijan kena menemankan Rosle menaiki skyride. Naik kali kedua sudah tak gayat lagi. Kesian Rosle, dia nampak macam takut.

7.55 malam, kami keluar dari Pulau Sentosa menuju ke Skudai. Pukul 9.20 malam kami sampai ke pemeriksaan kastam Tanjung Kupang. Sampai di tempat penginapan, kami mengangkat semua menggunakan tangga kerana lift rosak. Aduh, penatnya!.

11.00 malam, bas berhenti di R&R Macap untuk solat jamak dan makan. Aku dan Ijan makan mihun soto. Panas-panas, sedapnya! Teringat pula aku akan keenakan mi rebus Pak Wahid dekat plaza Angsana Johor hari tu.

11.45 malam, bas meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Pukul 4.40 pagi kami sampai ke IPG Kampus Pendidikan Teknik. Ramai yang terus balik. Aku, Ijan, Dr Sharifah, Norehan, Azmin dan Kamariah berehat di bilik ERT sambil menunggu hari siang. Seawal 7.00 pagi aku sampai ke rumah.

Pena peribadi,

Mahani Ibrahim,

Jabatan Pengajian Melayu,

IPG Kampus Pendidikan Teknik-

9 Mei 2010.